Gambar hiasan |
Jika anda menonton filem-filem terbaru Hollywood, anda akan dapati kebanyakan filem ini mempunyai persamaan dalam jelas dalam satu perkara iaitu 'time machine' atau 'mesin masa' atau pengembaraan masa di mana kisahnya berkaitan perjalanan ke masa hadapan atau masa silam.
Filem animasi "Spongebob Squrepants - Out Of Water (2015)", "Mr. Peabody & Sherman (2014)" membawa anda pergi ke masa silam untuk mereka memperbaiki keadaan. Spongebob kembali ke detik di mana mereka telah kehilangan formula rahsia Crabby Patty dan Spongebob dengan kerjasama Plankton telah membina mesin masa untuk kembali ke waktu di mana formula rahsia itu hilang dan mereka akan memutarkan kembali masa supaya kesilapan yang mereka lakukan terhadap formula rahsia itu dapat dielakkan.
Filem arahan Christopher Nolan, 'Interstellar' pula membawa penonton pergi ke angkasa lepas melewati galaksi merentas ke masa hadapan untuk mencari planet baru yang boleh diduduki oleh manusia. Kapal angkasa telah menemui masalah tetapi akhirnya mereka dapat diselamatkan oleh pasukan penyelamat. Angkasawan, Cooper selepas kembali ke bumi terkejut kerana mendapati dia sebenarnya telah merantau melewati waktu di bumi dan usia anaknya telah melebihi 90 tahun, lebih tua dari Cooper sendiri.
Filem "Project Almanac (2015)", "Time Lapse (2014)" pula memang kisah tentang sekumpulan pemuda mencipta mesin masa.
Sebagai orang Islam yang percaya dan beriman kepada qada' dan qadar, filem-filem sebegini mampu menggugat keyakinan anda mendorong anda percaya bahawa masa silam boleh dikembalikan atau dibetulkan.
Allah telah berfirman dan bersumpah dengan masa di dalam Surah Al-'Asr ayat 1 - 3 bermaksud: "Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran"
Ayat di atas jelas suatu pernyataan dari Tuhan Yang Maha Pencipta bahawa masa itu tidak boleh dikembalikan. Manusia itu hakikatnya sentiasa dalam kerugian seiring dengan perjalanan masa KECUALI mereka yang melakukan segala suruhanNya dan menjauhi laranganNya serta mengajak manusia membuat kebaikan dan menyatakan kebenaran.
Pengembaraan masa sama ada kembali ke masa silam atau pergi ke masa depan seperti yang ditunjukkan dalam filem Hollywood sebenarnya melanggar fitrah kejadian dan sunah alam. Tidak keterlaluan dikatakan ia cuba melanggar takdir - yang pada hakikatnya tidak mampu dilakukan manusia walau sehebat manapun ilmu dan teknologi yang dihasilkan.
Maka, jika anda mendapati sesebuah filem itu berkisar tentang pengembaraan masa, anda boleh andaikan ia hanya filem khayalan dan plot cerita memang direka sedemikian semata-mata. Mustahil ia mampu dilakukan di dunia realiti.
Apa yang cuba diserapkan oleh filem Hollywood ke dalam minda umat manusia hari ini sebenarnya ada agenda di sebaliknya. Mari kita kembali kepada kisah Dajal yang diceritakan oleh Nabi.
Daripada Abi Umamah al Bahili RA, beliau berkata :Rasulullah SAW berucap di hadapan kami. Kebanyakan ucapannya menyebut tentang Dajjal, dan meminta kami berjaga-jaga... di antara yang disebut : Di antara fitnahnya ialah, apabila dia (Dajjal) berkata kepada orang jahil, “adakah kamu ingin lihat aku membangkitkan ibu bapa kamu (yang telah mati)? Adakah kamu akan beriman denganku? Orang tersebut berkata : Ya.. Lalu dua ekor syaitan menyerupai bapa dan ibunya, lantas berkata : wahai anakku, berimanlah dengannya.. sesungguhnya dialah tuhan.
Kisah di atas menunjukkan bagaimana Dajal dalam tipudayanya cuba menggunakan teori pengembaraan masa untuk mengembalikan orang yang sudah mati ke dunia.