Friday, 19 June 2015

Kepulauan Spratly: China vs AS?


Ada yang berpendapat isu perebutan Kepulauan Spratly di tengah  Laut China Selatan akan mengheret dua kuasa besar iaitu AS dan China ke kancah perang. Kawasan kepulauan ini dianggap mempunyai potensi simpanan petroleum dan gas asli. Ia juga kawasan perikanan yang produktif. Lokasi yang strategik sebagai laluan kapal komersial yang sibuk dan mana-mana negara yang diiktiraf sebagai empunya zon kepulauan akan mendapat faedah yang besar.

China baru-baru ini mendapat perhatian dunia apabila mereka mengadakan aktiviti penggalian lalu menimbulkan spekulasi bahawa mereka akan menempatkan tentera di kawasan itu.Ini menimbulkan resah di kalangan negara-negara berdekatan yang turut sama menuntut kawasan ini milik mereka. Imej satelit menunjukkan China sedang membina pulau buatan di dalam zon kepulauan yang menjadi pertikaian.



China dan AS tidak akan berperang. Kemungkinan pertembungan antara dua kuasa besar ini adalah tipis sekali walaupun terdapat kemungkinan. Kedua-duanya mempunyai kepentingan dan saling bergantung sesama mereka. China kini menjadi kuasa pengeluar paling utama di dunia. Kebanyakan hasil produk dieksport ke AS melalui Hong Kong di mana AS adalah pengguna. Seperti kebanyakan negara, Hong Kong melabur dalam hutang AS kerana matawang dolar diyakini dan dianggp paling stabil di dunia. 60% wang tunai yang terdapat di bank-bank dunia adalah dalam dolar. Oleh sebab itu, ekonomi China bergantung kepada nilai dolar dan polisi kewangan AS. Hubungan dagangan antara kedua negara ini sangat penting.

AS pula berhutang kepada China. Dianggarkan nilai hutang AS kepada China sebanyak $1.3 trilion. AS juga berhutang kepada Jepun sebanyak $1.1 trilion. Kira-kira dua pertiga daripada rizab mata wang asing China adalah dalam mata wang dolar. Sebarang perubahan terhadap Beijing akan mengancam kestabilan mata wang AS. Import barangan yang murah dari China turut membantu menaikkan standard kehidupan warga AS dan mengurangkan risiko inflasi. Semua alasan ini tidak memungkinkan AS mahu mengerah tentera untuk melancarkan perang terhadap China.

Apa yang berlaku sekarang ini hanyalah permainan wayang kulit antara kedua-negara dan salah satu misi utama mereka adalah untuk mempromosi eksport persenjataan. Negara-negara kecil di Asia Tenggara seperti Malaysia, Brunei, Vietnam, Taiwan, Filipina merasa tidak selamat oleh itu mencari rakan yang dianggap kuat atau berkuasa sebagai tempat untuk mencari perlindungan.

Rantau Asia Tenggara kini menjadi medan AS mempamerkan kelengkapan ketenteraan canggih mereka. Sudah tentu kehadiran AS di rantau ini tidak semata-mata untuk 'mempertahankan' negara-negara kerdil ini. Ia tidak menguntungkan mereka. Setidak-tidaknya mereka tidak akan pulang dengan tangan kosong.

Seperti yang selalu AD tulis dalam artikel-artiek yang lalu, setiap kali ada campurtangan AS, tentu ada niat lain. Akhirnya yang mendapat laba ialah AS atau lebih tepat lagi bank-bank yang akan penyedia pinjaman kepada negara-negara kerdil yang merasa terancam oleh kuasa besar China lalu membeli kelengkapan persenjataan, dari peluru hingga ke pesawat pejuang atau kapal selam.



Akhirnya, Filiina telah memeterai perjanjian pertahanan dengan AS untuk membenarkan AS membina pengkalan tentera dan memberi akses yang lebih luas sebagai stor kelengkapan senjata dan bahanapi. Bagaimanapun perjanjian ini tidak disukai oleh penentang Aquino. Dalam perkembangan terbaru, China telah berjanji akan menghentikan operasi mereka di Kepulauan Spratly dalam masa terdekat. Misi AS untuk meluaskan pengaruhnya di rantau ini hampir tercapai. Russia semakin terkepung kerana hampir di setiap sudut dunia AS mempunyai pengkalan tentera.

Drama antara AS dan China ini hanya acah-acah sahaja. Kedua-dua negara saling bergantungan. Demi kepentingan ekonomi, mereka tidak mungkin berperang. Percayalah!


No comments:

Post a Comment