Wednesday, 2 December 2015

Golongan Atheist Bertuhankan Sains


Sebenarnya Al-Quran adalah mukjizat agung yang tidak perlu disamakan dengan ilmu sains. Beza kedua-duanya amat jauh seperti jarak Bumi dengan planet Pluto. Kedua-duanya mempunyai tingkat yang amat berbeza dari segi darjatnya.

Ada banyak teori sains yang dipertikaikan sehingga hari ini. Al-Quran tidak memerlukan sains kerana sifat benarnya kerana ia adalah wahyu Allah. Tuhan Yang Maha Pencipta segala yang ada di bumi ini termasuk sains dan seluruh sistem alam.

Ada banyak konfrontasi ilmu sains dengan Al-Quran. Apa yang disebut 'sains' itu hanya dicipta oleh manusia - makhlkuk yang lemah dan tidak mengerti apa-apa. Sains percaya manusia adalah evolusi dari beruk. Sains percaya makhluk terjadi dengan cara berevolusi dan mengadaptasi sekitarannya. Teori evolusi hanya sekadar hipotesis dan tidak boleh dibuktikan oleh manusia sendiri. Berbagai makhluk seperti haiwan yang telah tinggal di dalam air, darat dan udara tidak pernah berevolusi dan tiada bukti yang boleh membenarkan dakwaan itu, kecuali penemuan fosil yang tidak sempurna sifatnya dan boleh dipersoal keasliannya.

Al-Quran menyatakan dengan jelas manusia dicipta dari Adam, iaitu wujud sebagai manusia sejak dari masa mula penciptaannya, bukannya berevolusi dari beruk. Al-Quran juga menyatakan sesuatu yang hidup itu datang dari roh yang ditiup ke dalam embrio iaitu jasad fizikal makhluk dan akhirnya menjadi makhluk yang bernyawa. Sains percaya kehidupan wujud secara kebetulan. Kehidupan boleh bermula dari keadaan sekitar yang memenuhi syarat-syarat tertentu, dari sel tunggal, sama ada udara, air dan sebagainya. Kerana itu, NASA masih percaya kehidupan mungkin boleh wujud di planet Marikh dan manusia suatu hari nanti mungkin boleh tinggal di planet itu.


Sains tidak percaya bahawa manusia dicipta, tinggal di planet bumi, dengan kemudahan alam yang disediakan seperti matahari, bulan dan bintang semuanya adalah untuk kegunaan manusia sebagai bukti kebesaran Yang Maha Pencipta. Sains cenderung mengatakan semuanya adalah terjadi secara kebetulan. Sains mengatakan kita menjadi haiwan yang bertuah, mempunyai akal untuk berfikir, kebetulan boleh hidup kerana sifat planet Bumi memenuhi kriteria kehidupan, mentadbir planet ini dan menguasai angin, api, air dan sumber galian semulajadi. Sains menyangka di luar galaksi ini mungkin terdapat planet lain yang serupa sifat dengan Bumi, dan mungkin ada makhluk manusia yang tinggal di sana kerana alam semesta yang luas dan masih belum terjangkau oleh ilmu dan kemampuan teknologi manusia pada waktu ini.

Mereka yang mengagungkan sains tidak percaya kepada kewujudan Tuhan, sama seperti Neil DeGrass Tyson dan Professor Stephen Hawkings. Mereka tidak percaya selagi ia tidak boleh dibuktikan oleh sains. Hawkings berpendapat orang-orang zaman dahulu percaya kepada sesuatu yang ghaib dan merujuk kepada "Zat" yang mencipta sesuatu kerana mereka tiada penjelasan terhadap sesuatu kejadian. Hari ini setiap perkara yang berlaku boleh dijelaskan dengan sains. Oleh itu, Hawkings walaupun kurang upaya, beliau sangat angkuh dan tidak percaya kepada Pencipta.


Mereka ini adalah golongan atheist yang menolak kejadian makhluk adalah atas kehendak Si Pencipta dan mempunyai motif supaya manusia kembali menyembah kepada Penciptanya. Sains memerlukan eksperimen, bukti data, kecenderungan yang membolehkan ia diputuskan sebagai 'benar', manakala Al-Quran tidak memerlukan semua itu kerana ia disampaikan terus kepada manusia. Manusialah yang perlu mencari jalan dan mempelajari apa yang diajar di dalam al-Quran.


No comments:

Post a Comment